Selamat
menyambut Ramadhan dan selamat menjalankan ibadat puasa kepada semua kaum
muslimin dan muslimat 1433H (2012M), semoga Ramadhan tahun ini diberkati Allah
hendaknya.
Bulan Ramadhan bulan
berganda. Setiap apa saja yang dilakukan akan mendapat balasan berganda.
Malahan nafsu kita juga turut berganda walaupun pada bulan ini syaitan dirantai
oleh Allah. Ini adalah kerana nafsu telah bertapak di hati dan bermaharajalela.
Apabila kita membuat kesilapan kita sering
menyalahkan syaitan dan iblis yang menggoda kita. Tetapi mengapakah kesilapan
yang sama turut berlaku dalam bulan Ramadhan? Adakah rantai-rantai yang
membelit kaki-kaki syaitan itu terlalu panjang hingga dapat memberi 'petunjuk'
kepada kita?
Sabda Rasulullah saw.:
"Apabila datang
bulan Ramadhan, dibukakan pintu langit dan ditutup pintu neraka serta
dibelenggu segala syaitan."
Semoga dengan keberkatan Ramadhan ini kita akan
dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan melumpuhkan nafsu-nafsu hitam
yang bertahta di hati kita selama ini. Oleh itu, inilah masa yang perlu
digunakan sebaik mungkin untuk mendidik kembali nafsu kita yang selama ini
dikongkong oleh syaitan. Berpuasa bukanlah sekadar berlapar semata-mata. Tetapi
puasa adalah berlapar di samping mendidik nafsu dan peribadi manusia. Ini
adalah jihad yang maha besar yang perlu dihadapi oleh setiap umat
Islam.
Nabi Muhammad saw pernah
bersabda:
"Berjihadlah kamu
dengan lapar dan dahaga kerana pahalanya seperti pahala mujahid di jalan Allah
(fi sabilillah) dan sesungguhnya tiada amalan yang lebih diperkenankan oleh
Allah selain menahan lapar dan dahaga"
Bulan Ramadhan ini
adalah anugerah Allah sebagai lambang kasih sayang kepada hamba-hamba Nya.
Allah tidak mensia-siakan keletihan umatnya yang berpuasa hinggakan tidur di
waktu siang juga diberikan pahala. Begitu besarnya kasih sayang Allah pada
kita. Oleh itu marilah bersama-sama kita menilai diri kita. Semoga tahun ini
amalan kita akan semakin bertambah dan sempurna perlaksanaannya. Insya Allah.
Janganlah kita termasuk dalam golongan yang menganiayai diri
sendiri.
Sabda Rasulullah saw:
"Barangsiapa yang
mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan nescaya diampunkan segala
dosa-dosanya yang lalu."
Wassalam..
No comments:
Post a Comment